Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu
pada masa pemerintahan Kesultanan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan
Melayu Melaka) bermula pada 1400-1511 A.D. Menurut rekod sejarah, beliau lahir
di Kampung Sungai Duyong, Melaka kira-kira dalam tahun 1444 A.D. Bapanya bernama Hang
Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi
hulubalang istana
yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di
istana. Hang Tuah ialah Laksamana yang terkenal dengan kesetiaannya kepada Raja
dan merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada tolok bandingnya.
Hang Tuah dan empat orang kawannya: Hang Jebat,
Hang Kasturi,
Hang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang.
Selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke kota Melaka.
Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato'
Bendahara (iaitu Perdana Menteri) daripada seorang lelaki yang sedang mengamuk.
Dato' Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke
rumahnya dan seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana.
Sejak itu Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi
oleh Sultan hinggalah Hang Tuah mendapat gelar Laksamana.
Semasa mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit
di tanah Jawa,
Hang Tuah telah berjaya membunuh seorang pendekar Jawa bernama Taming Sari.
Dalam pertarungan itu Taming Sari, seorang pendekar yang kebal yang tidak dapat
dilukakan. Tetapi Hang Tuah mengetahui bahawa kekebalan Taming Sari
terletak pada kerisnya. Oleh itu Hang Tuah berjaya merampas keris berkenaan dan
membunuh Taming Sari. Keris itu kemudiannya dianugerahkan oleh Betara Majapahit
kepada Hang Tuah. Pemilik keris ini akan turut menjadi kebal seperti pendekar Jawa Taming Sari.
Hang Tuah telah diutuskan ke Pahang bagi
mendapatkan Tun Teja
untuk dijadikan permaisuri Sultan Melaka. Ketika Hang Tuah ke Pahang, Melor
turun dari Gunung Ledang mencari Hang Tuah. Melor telah ditawan oleh Tun Ali
atas hasutan Patih Karma Vijaya bagi
dijadikan gundik
Sultan.
Atas muslihat Tun Ali juga, Hang Tuah yang kembali dari Pahang akhirnya dapat
berjumpa Melor, tetapi Sultan juga turut menyaksikan perbuatan Hang Tuah itu.
Melor dan Hang Tuah dihukum bunuh kerana difitnah berzina dengan Melor yang
telah menjadi gundik Sultan. Namun, hukuman mati tidak dilaksanakan oleh
Bendahara sebaliknya Hang Tuah disembunyikannya di sebuah hutan di Hulu Melaka.
Hang Jebat telah dilantik oleh Sultan menjadi Laksamana
menggantikan Hang Tuah dan keris Taming Sari telah dianugerahkan kepada Hang
Jebat. Hang Jebat sebagai sahabat karib Hang Tuah, menyangka bahawa Hang Tuah
telah teraniaya dan telah menjalani hukuman mati. Hang Jebat (menurut Hikayat Hang
Tuah) atau Hang Kasturi (menurut Sejarah
Melayu), bertindak derhaka kepada Sultan dan mengambil alih istana.
Tidak ada pendekar atau panglima di Melaka yang dapat menentang Hang Jebat
(atau Hang Kasturi) yang telah menjadi kebal kerana adanya keris Taming Sari di
tangannya.
Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri dan berlindung di
rumah Bendahara. Pada masa itu baginda baru menyesal kerana membunuh Hang Tuah
yang tidak bersalah. Inilah masanya Bendahara memberitahu yang Hang Tuah masih
hidup. Hang Tuah kemudiannya telah dipanggil pulang dan dititahkan membunuh
Hang Jebat. Setelah tujuh hari bertarung, Hang Tuah akhirnya berjaya merampas
semula Taming Sarinya daripada Hang Jebat dan membunuhnya.
Dalam pertarungan yang sedih ini, Hang Jebat telah cuba
membela sahabatnya yang telah difitnah. Namun begitu, Hang Tuah telah membantu
sultan yang sebelum itu menghukumnya tanpa sebarang alasan. Sedangkan Abu Bakar
Siddiq R.A juga berkata kepada orang Muslim bahawa
jika dia bersalah, rakyat boleh menjatuhkannya. Ternyata, kesilapan Hang Tuah
yang tidak berfikir bahawa Allah S.W.T lebih berkuasa dari sultan dan memang
tidak salah Hang Jebat cuba menegakkan kebenaran. Tragedi ini masih menjadi
perbalahan orang melayu sampai sekarang.
Namun begitu, ada juga yang menyokong Hang Tuah. Ini kerana
Hang Jebat bukan saja derhaka kepada sultan bahkan telah
membunuh ramai orang/rakyat Melaka yang tidak berdosa dengan mengamuk di dalam
istana dan seluruh Melaka. Tindakan Hang Tuah yang membunuh Hang Jebat mungkin
satu tindakan yang berupa hukuman mati terhadap pembunuh.
Sumpah yang terkenal daripada Hang Tuah
ialah "Tak Melayu hilang di dunia"
yang bererti bangsa Melayu tidak akan punah di bumi ini.